14hb Februari. Disambut saban tahun sebagai Hari Valentine. Orang inggeris panggil: Valentine’s Day. Saya di dalam artikel ini bukan hendak membahaskan berkenaan sejarah Valentine’s Day. Saya yakin, banyak blog, website, sudah menceritakannya. Pokok pangkalnya, Valentine’s Day bukanlah perayaan yang dianjurkan oleh Islam.
Apa yang ingin saya sentuh di dalam artikel ini adalah muhasabah berkenaan Cinta.
Kerana saya dan Team LangitIlahi percaya bahawa, masalah berkaitan dengan Valentine’s Day bukanlah masalah tarikh, tetapi masalah berkenaan definisi dan kefahaman Cinta yang sebenarnya. Bukan salah 14hb Februari. Tetapi salah manusia dalam mengambil dan memahami erti cinta yang sebenar.
Bukan Salah 14hb Februari.
Beberapa kali saya melihat peristiwa di mana ada sekumpulan manusia ingin melaksanakan program, mengadakan majlis, melancarkan sesuatu, dan memilih tarikh 14hb Februari. Mungkin dipilih tarikh tersebut atas kesesuaiannya, atau mungkin kerana program yang hendak dianjurkan adalah berbentuk ‘hendak membetulkan kefahaman manusia berkenaan Valentine’s Day’. Tetapi mereka ini dicela, dan dipertikaikan.
“Kenapa kena pilih tarikh itu?” Begitulah sinisnya orang mengemukakan pertanyaan.
Di sinilah pada saya, silapnya kita memandang permasalahan ini. Bukan salah 14hb Februari dalam isu Valentine’s Day ini. Salahnya adalah pengisian Valentine’s Day itu sendiri. Bukan 14hb Februari yang haram, yang salah. Tetapi yang haramnya, yang salahnya, adalah pengisian Valentine’s Day itu sendiri, terhadap orang Islam. Letaklah pada tarikh mana pun, Valentine’s Day tetap akan menjadi haram dan salah buat orang Islam.
Masalah Valentine’s Day adalah, kerana ia sambutan orang yang bukan Islam. Dinamakan pula atas nama Paderi Valentino. Tidak pula berdiri atas dasar kefahaman cinta yang syara’. Sekiranya kita membuat kajian yang lebih, ramai remaja menganggap hari Valentine adalah antara hari yang baik untuk ‘graduasi’ dari teruna dan dara. Seks dengan Hari Valentine’s Day ada kaitan rapat. Dan ini adalah antara sebaran makna ‘Cinta’ yang silap.
Ya. Di situlah masalahnya Valentine’s Day. Berakar umbi dari permasalahan Aqidah, seterusnya menjalar kepada permasalahan praktis cinta yang silap. Bukan salah 14hb Februari. Salahnya adalah pada asas dan praktis Valentine’s Day itu sendiri.
Maka bukanlah sesuatu yang menjadi haram sekiranya kita hendak menganjurkan apa-apa majlis, program pada tarikh tersebut. Hendak melancarkan sesuatu, pada tarikh tersebut. Selagi mana apa yang kita buat itu tidak bercanggah dengan syara’, dan tidaklah pula berniat untuk meraikan Valentine’s Day itu sendiri.
Cinta Yang Sebenar.
Saya bertegas dengan maksud Cinta Yang Sebenar itu adalah – Ingin bersama ke syurga Allah SWT. Apa-apa sahaja yang melemparkan kita ke neraka Allah SWT, maka itu bukan cinta namanya. Tidak logik kita kata kita cinta kepada sesuatu, tetapi merosakkannya. Tidak logik kita kata kita cinta kepada seseorang, tetapi melemparkannya ke dalam api.
Maka di dalam perjalanan cinta itu, hendaklah kita muhasabah kembali apakah jalan percintaan kita ini berada atas jalan yang diredhaiNya? Apakah cinta kita dipandu oleh keimanan, atau nafsu semata-mata? Suka atas dasar apa? Ikut-ikutan, atau memang benar suka atas sebab yang kukuh?
Cinta di dunia hari ini telah dirosakkan dengan definisi Hollywood, Bollywood dan tidak kurang juga MalayWood. Bila disebut cinta, ianya akan terpenjara dalam skop lelaki dan perempuan. Sudahlah terpenjara sedemikian, bila disebut cinta lagi, yang kelihatan adalah ciuman, sentuhan, seks, makan bersama, keluar, chatting dan sms yang melalaikan, angau, kemaruk dan sebagainya yang bukan sahaja melanggar syariat Allah SWT, tetapi juga tidak memberikan manfaat kepada manusia.
Ini membuatkan Cinta menjadi buruk, jijik, taboo. Maka timbul lah isu apakah Cinta sebelum kahwin wujud? Maka timbul lah isu rindu itu adalah petanda Zina Hati. Timbul lah sikap ibu bapa yang tidak terbuka apabila anak-anak mula membicarakan perihal Cinta. Masih kecil lagi katanya. Pendapat-pendapat yang terlalu ekstrim akhirnya wujud daripada definisi yang salah ini. Membuatkan Islam kelihatan sempit dalam bab perasaan, dan terlalu kuno dalam pengurusan hubungan lelaki dan perempuan ini. Perempuan akan kelihatan tersepit terpaksa menerima. Urusan pula kelihatan susah dan payah, membuatkan ramai memberontak dan akhirnya mengambil terus definisi cinta yang dijaja dunia hari ini.
Tidak kurang juga, akibat pendefinisian cinta yang silap ini, menyebabkan ramai manusia terjebak dalam permasalahan sosial. Sudah cinta ditakrifnya sedemikian rupa, sedang cinta adalah fitrah manusia. Akhirnya kerana mengikuti ‘fitrah’, semua terjerumus mengamalkan cinta berbentuk hollywood itu.
Andainya definisi Cinta itu diperbaiki semula, kita akan dapat menyelesaikan pelbagai permasalahan. Permasalahan kahwin awal, permasalahan cinta sebelum kahwin, permasalahan hubungan lelaki dan perempuan secara amnya, sekaligus kita dapat menunjukkan betapa indahnya cinta kepada Allah, Rasulullah SAW, kepada saudara Islam kita yang lain dan cinta terhadap kebaikan serta kebenaran.
Kita pula kadangkala, terlalu memfokuskan cinta kepada lelaki dan perempuan, terlalu mengutamakan Cinta lelaki dan perempuan, hingga kita terlupa bahawa Islam amat menganjurkan, mendidik, cinta sesama saudara seaqidah.
Kita lemas dalam isu cinta lelaki dan perempuan, hingga meninggalkan perihal ukhuwwahfillah(hubungan kerana Allah SWT) sesama saudara seaqidah kita. Tidakkah kita melihat hari ini bagaimana Syria menangis dengan lebatnya. Dan tangisan mereka adalah tangisan berdarah.
Tetapi kita lebih sibuk dengan pengharaman Valentine’s Day. Mengupas perihal Valentine’s Day. Menentang Valentine’s Day. Sedangkan, sekiranya kita menyebarkan perihal cinta yang sebenar, konsep cinta yang sebenar, kita akan melihat bahawa ianya akan membawa juga kepada cinta terhadap saudara seaqidah. Kita sibuk dengan perkara seremeh Valentine’s Day, sedang saudara-mara kita dibiarkan disembelih.
Fokus teralih dengan sedemikian mudah.
Kerana itu saya sering menganjurkan, menegaskan, perihal Cinta Yang Sebenar. Kerana saya yakin, sekiranya kita bercinta, memahami cinta dengan sebenar-benarnya, maka kita akan terasa untuk mencintai saudara-mara kita di luar sana. Terasa rapatnya kita dengan mereka. Penderitaan mereka, akan menjadi penderitaan kita juga, hingga membuatkan kita tidak selesa dan akan menggerakkan diri kita untuk melakukan sesuatu!
Tidakkah kita ingat firman Allah SWT:
“Sesungguhnya setiap mu’min itu bersaudara.” Surah Al-Hujurat ayat 10.
“Dan jika mereka meminta pertolongan kepada kamu dalam perkara (menentang musuh untuk membela) ugama, maka wajiblah kamu menolongnya,” Surah Al-Anfal ayat 72.
Dan tidakkah kita ingat kepada sabda Rasulullah SAW?
Dari Anas RA kepadanya telah berkata: Telah bersabda Rasulullah SAW: “Tolonglah saudaramu yang berbuat zalim atau yang dizalimi.” Mereka bertanya: “Wahai Rasulullah ini kami menolong orang yang dizalimi maka bagaimana kami menolong orang yang menzalimi?” Rasulullah bersabda: “Kamu menghalang perbuatannya.” Hadith Riwayat Bukhari.
“Orang beriman dengan orang beriman yang lain adalah ibarat bangunan, bahagian yang lain mengukuhkan bahagian yang lain.” Hadith Riwayat Bukhari dan Muslim.
Maka bagaimana kita dengan saudara mara kita di Syria, Palestina, yang sedang lebat tangisannya kini? Apakah tidak kita cinta kepada mereka?
Penutup: Maka Kami Di LangitIlahi Mengajak Kepada Cinta Yang Sebenar!
Maka saudara-saudari, pembaca dan pelawat yang saya kasihi,
Saya mewakili Team LangitIlahi, Syarikat LangitIman Resources, mengajak diri kami dan diri anda semua, untuk sama-sama kita mengangkat Cinta Yang Sebenar. Memperbaiki definisi Cinta kita semula. Sama-sama kembali kepada kesederhanaan Islam.
Jangan kita cela orang-orang bukan Islam yang menyambut Valentine’s Day dengan mengulang-ulang pengharaman Valentine’s Day kepada mereka. Yang haramnya kepada kita. Jangan dicela perayaan mereka, sambutan mereka. Janganlah pula menyalahkan tarikh tersebut. Tarikh tidak salah. Apalah dosanya sebuah hari itu, untuk dipanjang jijik sedemikian rupa, hanya kerana ada seorang Paderi menjadikannya hari kekasih?
Mari kita kembali ke permasalahan sebenar.
Masalahnya adalah bagaimana kita memandang Cinta.
Marilah kita kembali kepada Cinta yang sebenar.
Yang terasnya adalah keimanan kita kepada Allah SWT, dan buah-buahnya adalah cinta kita kepada Rasulullah SAW, sahabat baginda, orang-orang yang mengikuti perjuangan mereka, seterusnya keluarga kita, orang yang menjadi kekasih kita, guru-guru, masyarakat, negara, saudara-saudara seaqidah kita, dan semuanya. Berteraskan cinta kita kepada Allah SWT. Hendak masuk ke syurga bersama mereka. Maka semestinya perlu mengambil jalan yang diredhaiNya.
Semoga Allah redha.
Mari Menjadi Hamba!
~ seorang hamba,
Hilal Asyraf.
Pengasas LangitIlahi.Com,
Pengerusi LangitIman Resources.
Nota: Kami ada menerbitkan eBook Kumpulan Cerpen Simfoni Cinta, karangan saya(HilalAsyraf) pada 14hb Februari, juga kami membuka order untuk Baju Cinta Yang Sebenar pada tarikh yang sama. Maklumat detail berkenaan penjualan ini, produk-produknya, keistimewaan-keistimewaanya, ada di link berikut:http://langitilahi.com/7141
*Sudah terang lagi bersuluh,tak payah susah-susah nak beli
bateri,dah memang kita tahu bahawa valentine’s day ni memang budaya orang bukan
islam.banyak lagi perkara baik dalam agama kita yang boleh dibuat,kenapa mesti
diagungkan budaya barat??penulis tidak menafikan sedikit sebanyak ada ilmu
malah budaya yang baik dari barat,bak kata orang tua,yang baik itu kita
ambil,yang buruk itu kita buang.APA YANG PENTING?apa-apa yang melanggar atau tidak selari dengan ISLAM maka
hendaklah kita jauhi.jelas?
Kebanyakan yang sambut VD ni confirm la kan pasangan kekasih
atau couple la.erm,kenapa dengan pasangan suami isteri?mereka tak sambut
ke?atau mereka ni hari-hari sambut VD.tak jadi masalah sebab suami isteri mereka ini sah hubungannye
dipersaksikan melalui AKAD NIKAH.
Bila daH couple,duduk rapat-rapat,kau pegang aku,aku pegang
kau,TANPA HUBUNGAN YANG SAH MAKA HUKUMNYA HARAM.penulis bukannya suka
menghukum,tapi hukum ini datang original daripada ALLAH.kita sebagai
hamba-NYA,datang dari-NYA DAN AKAN KEMBALI JUGA KEPADA-NYA bila-bila masa yang
DIA NAK.
*pihak SDMMPM berharap agar kita semua akan terhindar dari melakukan perkara di luar batas agama.ayuh kita kejar cinta yang suci lagi tulus.antum yang pandu kereta,jadi antum yang akan bawa ke mana sahaja yang antum suka.ke jalan redha allah atau sebaliknya??salam bahagia...selamat belajar,selamat beribadah...^_^