DENGAN NAMA ALLAH YANG MAHA PEMURAH LAGI MAHA PENYAYANG.
Allah berfirman dalam surah al-Anbiya ayat 107, maksudnya:
“Dan tidaklah Kami mengutuskan kamu (wahai Muhammad) melainkan untuk memberi rahmat kepada seluruh alam”
Alhamdulillah, syukur sama-sama kita panjatkan ke hadrat Allah SWT atas kurniaan nikmat yang begitu banyak kepada kita. Sekali lagi Allah telah memberi peluang kepada kita untuk bertemu dengan Bulan Rabi’ul Awwal yang mana padanya terdapat satu hari penting kepada seluruh umat Islam iaitu kelahiran Baginda Nabi Muhammad saw. Selawat serta salam ditujukan khas buat junjungan mulia Nabi Muhammad saw (penghulu segala nabi), ahli keluarga baginda, para sahabat, tabi’in, tabi’ut tabi’in, para u’lama’ seterusnya kepada semua penyambung mata-mata rantai perjuangan baginda Nabi saw hingga kiamat.
Saban tahun kita meraikan hari kebesaran ini (kelahiran Nabi Muhammad saw). Walaupun terdapat perbezaan pendapat di kalangan para sejarawan Islam berkenaan tarikh sebenar kelahiran Nabi Muhammad saw. Sebagai contoh seperti mana yang terdapat di dalam kitab al-Bidayah wa al-Nihayah karangan Ibn Kathir (meninggal pada 774H), mencatatkan pelbagai pandangan berkenaan hari dan kelahiran baginda nabi. Bagi yang berpandangan baginda lahir pada Bulan Rabi’ul Awwal, mereka berbeza pendapat pula dalam menentukan hari bulannya. Ada yang berpendapat pada 8hb, 9hb, 12hb seperti yang digunapakai ramai. Ada juga berpandangan 17hb dan seumpamanya. Malah ada juga sarjana Islam menyatakan Nabi Muhammad saw lahir pada Bulan Ramadhan dengan hujah-hujah mereka tersendiri.
Persoalan tarikh sebenar ini bukanlah fokusnya kerana baginda Nabi Muhammad saw memang diyakini dan diakui oleh semua sarjana termasuk sarjana bukan Islam akan kebenaran munculnya seorang insan agong yang bernama Muhammad bin Abdullah. Berbeza pula halnya dengan kelahiran Jesus pada gambaran Barat. Sehinggakan ada ahli pengkaji di kalangan mereka mempertikaikan kelahiran Jesus itu sendiri.
Hari kelahiran baginda Nabi Muhammad saw sememangnya amat layak untuk diraikan. Begitupun tiada nas yang dijumpai menunjukkan Nabi saw mahupun para sahabat r.hum menyambutnya, namun sebagai tanda kita memperingati serta mencintai baginda Nabi saw, maka sewajarnya kita untuk menyambutnya lebih-lebih lagi dalam suasana masyarakat hari ini yang makin jauh meninggalkan Nabi saw. Namun ingin ditekankan di sini, mengingati Nabi bukanlah hanya tertumpu pada Bulan Rabi’ul Awwal semata-mata. Seharusnya kita perlu mengingati baginda setiap masa dan ketika. Amat besar pengorbanan yang telah dibuat oleh baginda Nabi saw sehingga kita menikmati nikmat Iman dan Islam. Semuanya dengan kekuasaan Allah. Allah mahukan manusia hidup dalam keadaan harmonis dan dalam keredhoanNya, maka diutuskan Nabi saw sebagai panduan umat akhir zaman ini. Firman Allah dalam Surah al-Ahzab ayat 21, maksudnya:
“Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik, Iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredhoan) Allah dan (balasan baik) hari akhirat, serta ia pula menyebut dan mengingati Allah banyak-banyak (dalam masa susah dan senang)”
Nabi Muhammad merupakan insan dan makhluk Allah yang paling agong ciptaanNya. Sepatutnya kita menjadikan Nabi saw sebagai ikutan dan idola kita. Bukannya para artis yang mendedah aurat, meninggalkan solat dan pelbagai perbuatan maksiat dilakukan menjadi ikutan kita. Namun hakikatnya mereka juga yang menjadi kegilaan muda-mudi hari ini. Alhamdulillah, perkembangan positif di Malaysia hari ini memperlihatkan ramai di kalangan para artis yang telah kembali ke pangkal jalan. Mudah-mudahan mereka terus istiqomah untuk menjadi hamba Allah yang sebenarnya. Allah mengiktiraf keluhuran budi pekerti Nabi Muhammad saw melalui firmanNya dalam surah al-Qalam ayat 4:
“Dan bahawa sesungguhnya engkau (Muhammad) mempunyai akhlak yang amat mulia.”
Sebagai penutup ingin saya mengajak sidang pembaca budiman sekalian untuk merenung tentang sambutan Maulidur Rasul yang saban tahun kita raikan, adakah ia mendatangkan kesan yang mendalam kepada peribadi dan cara hidup kita atau sebaliknya? Ketahuilah bahawa Nabi saw diutuskan bukan hanya untuk disambut kelahirannya tetapi untuk diikuti sunnah serta ajaran yang telah ditinggalkan!
Sirru a’la Barokatillah.
MUHAMMAD AMIRUL BIN AMRAN,
MAHASISWA PENDIDIKAN ISLAM,
UNIVERSITI PENDIDIKAN SULTAN IDRIS.
9 RABI'UL AWWAL 1433H/ 2 FEBRUARI 2012
SEDANG MENJALANI LATIHAN MENGAJAR DI NEGARA BRUNEI DARUSSALAM.
BELIAU BOLEH DIHUBUNGI DI ALAMAT FB Amirul Al-Chenori