twitter




Bismillahirahmanirrahim………..
Pada 27 dan 28 Januari 2012,Badan Bina Insan Agama & Dakwah telah mengadakan  satu program mega yang dinamakan Muktamar Sanawi.Program ini merupakan program wajib tahunan yang diadakan setiap tahun dengan bertemakan “kethiqahan ukhwah menjana transformasi du’at”.Pada muktamar kali ini,berlangsung dengan meriah dan barakahnya dengan kehadiran yang ramai dari kalangan AJK BINNADWAH sendiri.Tidak ketinggalan juga dalam memberi  sokongan dan dorongan dari tarbiyah ruhiyyahnya iaitu barisan guru-guru penasihat dan juga saf-saf Sahabat Dakwah. Muktamar kali ini diadakan selama dua hari satu malam yang mana pada hari pertama iaitu 27 Jan 2012  program bermula pada jam 5.30 petang dengan pendaftaran peserta muktamar.Kemudian diikuti dengan program yang dianjurkan oleh ahli jawatankuasa pelaksana Muktamar sanawi kali ke 10.

Pada malam yang penuh barakah itu para peserta merangkap AJK BINNADWAH dihidang  dengan makanan rohani dan spiritual yang amat memberi input yang berguna sebagai jundi dan qiadi di bumi MMPM.Kuliah maghrib yang disampaikan oleh Saudara Muaz dan Slot bersama Ustaz Hisyam yang mana beliau membentangkan dan menjelaskan manual usrah bagi sesi 2012 kepada saf naqib dan naqibah .Banyak input yang dikongsi oleh Ustaz  untuk dijadikan panduan dan teladan buat para nuqaba dan tidak ketinggalan juga Sahabat Dakwah yang dapat hadir pada malam ini.Antara mutiara kata yang sempat dikutip daripada beliau ialah “orang yang mempunyai harga diri yang tinggi mampu untuk memberi penghargaan kepada orang lain,tetapi orang yang mempunyai harga diri yang rendah ialah orang yang meminta penghargaan dari orang lain ”.Ia dapat disimpulkan bahawa sesiapa yang berada dalam medan dakwah ini perlulah ikhlaskan niat dengan setiap apa yang kita lakukan tertutamanya dalam gerak kerja dakwah.Cukuplah sekadar Allah yang mengetahui dan hanya Allah yang mampu membayarnya.InsyaAllah…….

Setelah selesai Slot Bersama Ustaz Hisyam,program pada malam ini diteruskan dengan dengan Slot pimpinan 2011 bersama AJK BINNADWAH.Saf-saf pimpinan memberikan amanat terakhir sebelum turun jawatan secara rasminya pada Muktamar Sanawi kali ke 10.Tepat jam 4.30 pagi ,semua peserta bangun dan menyiapkan diri untuk menghadap Rabbul Izzati dengan melakukan Qiamullail secara berjemaah.Kemudian disusuli dengan Solat Subuh berjemaah.Hari yang ditunggu-tunggu  telah tiba, memberikan seribu satu rasa debaran dan kegembiraan bagi saf pimpinan BINNADWAH 2011 kerana dapat melepaskan jawatan yang dipegang.Ada juga yang takut untuk menghadapi soalan-soalan yang bakal disoal oleh perwakilan pada sesi perbahasan nanti.Tapi,ini merupakan satu pengalaman yang pasti dirasai oleh sesiapa saja yang bergelar pimpinan BINNADWAH MMPM.Nervous,takut,gembira,gementar, sedih dan 1001 rasa yang dialami ketika sesi perbahasan dan soal jawab dari perwakilan dan saf-saf pimpinan 2011.Apa yang pasti,adakah kita telah melaksanakan apa yang telah ditaklifkan kepada kita….?tepuk dada Tanyalah iman..Muktamar adalah salah satu medan untuk muhasabah bagi setiap jemaah atau gerakan Islam untuk memperbaiki lagi mutu dan gerak kerja yang dilakukan sebelum ini.

Majlis ini dihangatkan lagi dengan perbahasan dari perwakilan  dan dirasmikan oleh Penolong Kanan HEM  Ustaz Pauzi Bin Yusof.Dalam ucapan perasmiannya,beliau ingin BINNADWAH melakukan gerak karja yang ‘pragmatik’ dan ‘realistik’ dengan keadaan semasa.Setelah itu,secara rasminya barisan dan saf kepimpinan 2011 meletakkan jawatan jawatan dan diganti dengan Saf kepimpinan 2012.Berikut adalah senarai saf-saf kepimpinan bagi sesi 2012:
Pengerusi  : Mohd Rifaie bin Harun

Timb Pengerusi  I : Mohd Zulmajdi Bin Zainuddin
Timb Pengerusi  II : Emilia Izzati Bt Mokhtar
Setiausaha : Ahmad Farhan Bin Zahari
Penolong Setiausaha : Nuraini Bt Ilias
Bendahari  :Abd Harith Hakimi Bin Abd Hadi
Penolong Bendahari :Siti Zahrah Bt Yuslan
Lajnah Usrah & tarbiah :
Asyraf Bin Zuraidee
Nor Adilah Bt Mat

Lajnah Ceramah & Tazkirah :
Mohd Murrah Bin Mokhtar
Nurul Mursyidah Bt Md Suhaimi

Lajnah Rehlah & Tamrin:
Badrul Amin Bin Mat Sawar
Rabiatun Adawiyah Bt Masketar

Lajnah Penerbitan & Informasi :
Siafullah Bin Mohd Agus
Diyana Bt Fathee

Lajnah Ekonomi :
Mohd Izat Bin Saimi
Nurul Fakis Bt Abdullah

Lajnah Taamir Masjid:
Mohd Azriddin Bin Hashim
Nurul Amani Bt Abd Manaf

Lajnah Tugas-Tugas Khas:
Mohd Haris Bin Zulkifli
Liyana Zulfah Bt Muhammad

  Semoga dengan coretan yang sedikit ini, dapat memberi  gambaran dan suasana kepada Sahabat Dakwah yang  tak dapat turut serta dalam Muktamar Sanawi kali ke -10.InsyaAllah………. 

Kembara sufi




14hb Februari. Disambut saban tahun sebagai Hari Valentine. Orang inggeris panggil: Valentine’s Day. Saya di dalam artikel ini bukan hendak membahaskan berkenaan sejarah Valentine’s Day. Saya yakin, banyak blog, website, sudah menceritakannya. Pokok pangkalnya, Valentine’s Day bukanlah perayaan yang dianjurkan oleh Islam.
Apa yang ingin saya sentuh di dalam artikel ini adalah muhasabah berkenaan Cinta.
Kerana saya dan Team LangitIlahi percaya bahawa, masalah berkaitan dengan Valentine’s Day bukanlah masalah tarikh, tetapi masalah berkenaan definisi dan kefahaman Cinta yang sebenarnya. Bukan salah 14hb Februari. Tetapi salah manusia dalam mengambil dan memahami erti cinta yang sebenar.
Bukan Salah 14hb Februari.
Beberapa kali saya melihat peristiwa di mana ada sekumpulan manusia ingin melaksanakan program, mengadakan majlis, melancarkan sesuatu, dan memilih tarikh 14hb Februari. Mungkin dipilih tarikh tersebut atas kesesuaiannya, atau mungkin kerana program yang hendak dianjurkan adalah berbentuk ‘hendak membetulkan kefahaman manusia berkenaan Valentine’s Day’. Tetapi mereka ini dicela, dan dipertikaikan.
“Kenapa kena pilih tarikh itu?” Begitulah sinisnya orang mengemukakan pertanyaan.
Di sinilah pada saya, silapnya kita memandang permasalahan ini. Bukan salah 14hb Februari dalam isu Valentine’s Day ini. Salahnya adalah pengisian Valentine’s Day itu sendiri. Bukan 14hb Februari yang haram, yang salah. Tetapi yang haramnya, yang salahnya, adalah pengisian Valentine’s Day itu sendiri, terhadap orang Islam. Letaklah pada tarikh mana pun, Valentine’s Day tetap akan menjadi haram dan salah buat orang Islam.
Masalah Valentine’s Day adalah, kerana ia sambutan orang yang bukan Islam. Dinamakan pula atas nama Paderi Valentino. Tidak pula berdiri atas dasar kefahaman cinta yang syara’. Sekiranya kita membuat kajian yang lebih, ramai remaja menganggap hari Valentine adalah antara hari yang baik untuk ‘graduasi’ dari teruna dan dara. Seks dengan Hari Valentine’s Day ada kaitan rapat. Dan ini adalah antara sebaran makna ‘Cinta’ yang silap.
Ya. Di situlah masalahnya Valentine’s Day. Berakar umbi dari permasalahan Aqidah, seterusnya menjalar kepada permasalahan praktis cinta yang silap. Bukan salah 14hb Februari. Salahnya adalah pada asas dan praktis Valentine’s Day itu sendiri.
Maka bukanlah sesuatu yang menjadi haram sekiranya kita hendak menganjurkan apa-apa majlis, program pada tarikh tersebut. Hendak melancarkan sesuatu, pada tarikh tersebut. Selagi mana apa yang kita buat itu tidak bercanggah dengan syara’, dan tidaklah pula berniat untuk meraikan Valentine’s Day itu sendiri.

Cinta Yang Sebenar.
Saya bertegas dengan maksud Cinta Yang Sebenar itu adalah – Ingin bersama ke syurga Allah SWT. Apa-apa sahaja yang melemparkan kita ke neraka Allah SWT, maka itu bukan cinta namanya. Tidak logik kita kata kita cinta kepada sesuatu, tetapi merosakkannya. Tidak logik kita kata kita cinta kepada seseorang, tetapi melemparkannya ke dalam api.
Maka di dalam perjalanan cinta itu, hendaklah kita muhasabah kembali apakah jalan percintaan kita ini berada atas jalan yang diredhaiNya? Apakah cinta kita dipandu oleh keimanan, atau nafsu semata-mata? Suka atas dasar apa? Ikut-ikutan, atau memang benar suka atas sebab yang kukuh?
Cinta di dunia hari ini telah dirosakkan dengan definisi Hollywood, Bollywood dan tidak kurang juga MalayWood. Bila disebut cinta, ianya akan terpenjara dalam skop lelaki dan perempuan. Sudahlah terpenjara sedemikian, bila disebut cinta lagi, yang kelihatan adalah ciuman, sentuhan, seks, makan bersama, keluar, chatting dan sms yang melalaikan, angau, kemaruk dan sebagainya yang bukan sahaja melanggar syariat Allah SWT, tetapi juga tidak memberikan manfaat kepada manusia.
Ini membuatkan Cinta menjadi buruk, jijik, taboo. Maka timbul lah isu apakah Cinta sebelum kahwin wujud? Maka timbul lah isu rindu itu adalah petanda Zina Hati. Timbul lah sikap ibu bapa yang tidak terbuka apabila anak-anak mula membicarakan perihal Cinta. Masih kecil lagi katanya. Pendapat-pendapat yang terlalu ekstrim akhirnya wujud daripada definisi yang salah ini. Membuatkan Islam kelihatan sempit dalam bab perasaan, dan terlalu kuno dalam pengurusan hubungan lelaki dan perempuan ini. Perempuan akan kelihatan tersepit terpaksa menerima. Urusan pula kelihatan susah dan payah, membuatkan ramai memberontak dan akhirnya mengambil terus definisi cinta yang dijaja dunia hari ini.
Tidak kurang juga, akibat pendefinisian cinta yang silap ini, menyebabkan ramai manusia terjebak dalam permasalahan sosial. Sudah cinta ditakrifnya sedemikian rupa, sedang cinta adalah fitrah manusia. Akhirnya kerana mengikuti ‘fitrah’, semua terjerumus mengamalkan cinta berbentuk hollywood itu.
Andainya definisi Cinta itu diperbaiki semula, kita akan dapat menyelesaikan pelbagai permasalahan. Permasalahan kahwin awal, permasalahan cinta sebelum kahwin, permasalahan hubungan lelaki dan perempuan secara amnya, sekaligus kita dapat menunjukkan betapa indahnya cinta kepada Allah, Rasulullah SAW, kepada saudara Islam kita yang lain dan cinta terhadap kebaikan serta kebenaran.

Dan Mereka Di Sana Pula Menangis.



Kita pula kadangkala, terlalu memfokuskan cinta kepada lelaki dan perempuan, terlalu mengutamakan Cinta lelaki dan perempuan, hingga kita terlupa bahawa Islam amat menganjurkan, mendidik, cinta sesama saudara seaqidah.
Kita lemas dalam isu cinta lelaki dan perempuan, hingga meninggalkan perihal ukhuwwahfillah(hubungan kerana Allah SWT) sesama saudara seaqidah kita. Tidakkah kita melihat hari ini bagaimana Syria menangis dengan lebatnya. Dan tangisan mereka adalah tangisan berdarah.
Tetapi kita lebih sibuk dengan pengharaman Valentine’s Day. Mengupas perihal Valentine’s Day. Menentang Valentine’s Day. Sedangkan, sekiranya kita menyebarkan perihal cinta yang sebenar, konsep cinta yang sebenar, kita akan melihat bahawa ianya akan membawa juga kepada cinta terhadap saudara seaqidah. Kita sibuk dengan perkara seremeh Valentine’s Day, sedang saudara-mara kita dibiarkan disembelih.
Fokus teralih dengan sedemikian mudah.
Kerana itu saya sering menganjurkan, menegaskan, perihal Cinta Yang Sebenar. Kerana saya yakin, sekiranya kita bercinta, memahami cinta dengan sebenar-benarnya, maka kita akan terasa untuk mencintai saudara-mara kita di luar sana. Terasa rapatnya kita dengan mereka. Penderitaan mereka, akan menjadi penderitaan kita juga, hingga membuatkan kita tidak selesa dan akan menggerakkan diri kita untuk melakukan sesuatu!
Tidakkah kita ingat firman Allah SWT:
“Sesungguhnya setiap mu’min itu bersaudara.” Surah Al-Hujurat ayat 10.
“Dan jika mereka meminta pertolongan kepada kamu dalam perkara (menentang musuh untuk membela) ugama, maka wajiblah kamu menolongnya,” Surah Al-Anfal ayat 72.
Dan tidakkah kita ingat kepada sabda Rasulullah SAW?
Dari Anas RA kepadanya telah berkata: Telah bersabda Rasulullah SAW:  “Tolonglah saudaramu yang berbuat zalim atau yang dizalimi.” Mereka bertanya: “Wahai Rasulullah ini kami menolong orang yang dizalimi maka bagaimana kami menolong orang yang menzalimi?” Rasulullah bersabda: “Kamu menghalang perbuatannya.” Hadith Riwayat Bukhari.
“Orang beriman dengan orang beriman yang lain adalah ibarat bangunan, bahagian yang lain mengukuhkan bahagian yang lain.” Hadith Riwayat Bukhari dan Muslim.
Maka bagaimana kita dengan saudara mara kita di Syria, Palestina, yang sedang lebat tangisannya kini? Apakah tidak kita cinta kepada mereka?

Penutup: Maka Kami Di LangitIlahi Mengajak Kepada Cinta Yang Sebenar!
Maka saudara-saudari, pembaca dan pelawat yang saya kasihi,
Saya mewakili Team LangitIlahi, Syarikat LangitIman Resources, mengajak diri kami dan diri anda semua, untuk sama-sama kita mengangkat Cinta Yang Sebenar. Memperbaiki definisi Cinta kita semula. Sama-sama kembali kepada kesederhanaan Islam.
Jangan kita cela orang-orang bukan Islam yang menyambut Valentine’s Day dengan mengulang-ulang pengharaman Valentine’s Day kepada mereka. Yang haramnya kepada kita. Jangan dicela perayaan mereka, sambutan mereka. Janganlah pula menyalahkan tarikh tersebut. Tarikh tidak salah. Apalah dosanya sebuah hari itu, untuk dipanjang jijik sedemikian rupa, hanya kerana ada seorang Paderi menjadikannya hari kekasih?
Mari kita kembali ke permasalahan sebenar.
Masalahnya adalah bagaimana kita memandang Cinta.
Marilah kita kembali kepada Cinta yang sebenar.
Yang terasnya adalah keimanan kita kepada Allah SWT, dan buah-buahnya adalah cinta kita kepada Rasulullah SAW, sahabat baginda, orang-orang yang mengikuti perjuangan mereka, seterusnya keluarga kita, orang yang menjadi kekasih kita, guru-guru, masyarakat, negara, saudara-saudara seaqidah kita, dan semuanya. Berteraskan cinta kita kepada Allah SWT. Hendak masuk ke syurga bersama mereka. Maka semestinya perlu mengambil jalan yang diredhaiNya.
Semoga Allah redha.
Mari Menjadi Hamba!
~ seorang hamba,
Hilal Asyraf.
Pengasas LangitIlahi.Com,
Pengerusi LangitIman Resources.
Nota: Kami ada menerbitkan eBook Kumpulan Cerpen Simfoni Cinta, karangan saya(HilalAsyraf) pada 14hb Februari, juga kami membuka order untuk Baju Cinta Yang Sebenar pada tarikh yang sama. Maklumat detail berkenaan penjualan ini, produk-produknya, keistimewaan-keistimewaanya, ada di link berikut:http://langitilahi.com/7141


*Sudah terang lagi bersuluh,tak payah susah-susah nak beli bateri,dah memang kita tahu bahawa valentine’s day ni memang budaya orang bukan islam.banyak lagi perkara baik dalam agama kita yang boleh dibuat,kenapa mesti diagungkan budaya barat??penulis tidak menafikan sedikit sebanyak ada ilmu malah budaya yang baik dari barat,bak kata orang tua,yang baik itu kita ambil,yang buruk itu kita buang.APA YANG PENTING?apa-apa yang melanggar atau tidak selari dengan ISLAM maka hendaklah kita jauhi.jelas?
Kebanyakan yang sambut VD ni confirm la kan pasangan kekasih atau couple la.erm,kenapa dengan pasangan suami isteri?mereka tak sambut ke?atau mereka ni hari-hari sambut VD.tak jadi masalah sebab  suami isteri mereka ini sah hubungannye dipersaksikan melalui AKAD NIKAH.
Bila daH couple,duduk rapat-rapat,kau pegang aku,aku pegang kau,TANPA HUBUNGAN YANG SAH MAKA HUKUMNYA HARAM.penulis bukannya suka menghukum,tapi hukum ini datang original daripada ALLAH.kita sebagai hamba-NYA,datang dari-NYA DAN AKAN KEMBALI JUGA KEPADA-NYA bila-bila masa yang DIA NAK.
*pihak SDMMPM berharap agar kita semua akan terhindar dari melakukan perkara di luar batas agama.ayuh kita kejar cinta yang suci lagi tulus.antum yang pandu kereta,jadi antum yang akan bawa ke mana sahaja yang antum suka.ke jalan redha allah atau sebaliknya??salam bahagia...selamat belajar,selamat beribadah...^_^



DENGAN NAMA ALLAH YANG MAHA PEMURAH LAGI MAHA PENYAYANG.

Allah berfirman dalam surah al-Anbiya ayat 107, maksudnya:

“Dan tidaklah Kami mengutuskan kamu (wahai Muhammad) melainkan untuk memberi rahmat kepada seluruh alam”

Alhamdulillah, syukur sama-sama kita panjatkan ke hadrat Allah SWT atas kurniaan nikmat yang begitu banyak kepada kita. Sekali lagi Allah telah memberi peluang kepada kita untuk bertemu dengan Bulan Rabi’ul Awwal yang mana padanya terdapat satu hari penting kepada seluruh umat Islam iaitu kelahiran Baginda Nabi Muhammad saw. Selawat serta salam ditujukan khas buat junjungan mulia Nabi Muhammad saw (penghulu segala nabi), ahli keluarga baginda, para sahabat, tabi’in, tabi’ut tabi’in, para u’lama’ seterusnya kepada semua penyambung mata-mata rantai perjuangan baginda Nabi saw hingga kiamat.

                Saban tahun kita meraikan hari kebesaran ini (kelahiran Nabi Muhammad saw). Walaupun terdapat perbezaan pendapat di kalangan para sejarawan Islam berkenaan tarikh sebenar kelahiran Nabi Muhammad saw. Sebagai contoh seperti mana yang terdapat di dalam kitab al-Bidayah wa al-Nihayah karangan Ibn Kathir (meninggal pada 774H), mencatatkan pelbagai pandangan berkenaan hari dan kelahiran baginda nabi. Bagi yang berpandangan baginda lahir pada Bulan Rabi’ul Awwal, mereka berbeza pendapat pula dalam menentukan hari bulannya. Ada yang berpendapat pada 8hb, 9hb, 12hb seperti yang digunapakai ramai. Ada juga berpandangan 17hb dan seumpamanya. Malah ada juga sarjana Islam menyatakan Nabi Muhammad saw lahir pada Bulan Ramadhan dengan hujah-hujah mereka tersendiri.

                Persoalan tarikh sebenar ini bukanlah fokusnya kerana baginda Nabi Muhammad saw memang diyakini dan diakui oleh semua sarjana termasuk sarjana bukan Islam akan kebenaran munculnya seorang insan agong yang bernama Muhammad bin Abdullah. Berbeza pula halnya dengan kelahiran Jesus pada gambaran Barat. Sehinggakan ada ahli pengkaji di kalangan mereka mempertikaikan kelahiran Jesus itu sendiri.

                Hari kelahiran baginda Nabi Muhammad saw sememangnya amat layak untuk diraikan. Begitupun tiada nas yang dijumpai menunjukkan Nabi saw mahupun para sahabat r.hum menyambutnya, namun sebagai tanda kita memperingati serta mencintai baginda Nabi saw, maka sewajarnya kita untuk menyambutnya lebih-lebih lagi dalam suasana masyarakat hari ini yang makin jauh meninggalkan Nabi saw. Namun ingin ditekankan di sini, mengingati Nabi bukanlah hanya tertumpu pada Bulan Rabi’ul Awwal semata-mata. Seharusnya kita perlu mengingati baginda setiap masa dan ketika. Amat besar pengorbanan yang telah dibuat oleh baginda Nabi saw sehingga kita menikmati nikmat Iman dan Islam. Semuanya dengan kekuasaan Allah. Allah mahukan manusia hidup dalam keadaan harmonis dan dalam keredhoanNya, maka diutuskan Nabi saw sebagai panduan umat akhir zaman ini. Firman Allah dalam Surah al-Ahzab ayat 21, maksudnya:

“Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik, Iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredhoan) Allah dan (balasan baik) hari akhirat, serta ia pula menyebut dan mengingati Allah banyak-banyak (dalam masa susah dan senang)”

                Nabi Muhammad merupakan insan dan makhluk Allah yang paling agong ciptaanNya. Sepatutnya kita menjadikan Nabi saw sebagai ikutan dan idola kita. Bukannya para artis yang mendedah aurat, meninggalkan solat dan pelbagai perbuatan maksiat dilakukan menjadi ikutan kita. Namun hakikatnya mereka juga yang menjadi kegilaan muda-mudi hari ini. Alhamdulillah, perkembangan positif di Malaysia hari ini memperlihatkan ramai di kalangan para artis yang telah kembali ke pangkal jalan. Mudah-mudahan mereka terus istiqomah untuk menjadi hamba Allah yang sebenarnya. Allah mengiktiraf keluhuran budi pekerti Nabi Muhammad saw melalui firmanNya dalam surah al-Qalam ayat 4:

“Dan bahawa sesungguhnya engkau (Muhammad) mempunyai akhlak yang amat mulia.”

                Sebagai penutup ingin saya mengajak sidang pembaca budiman sekalian untuk merenung tentang sambutan Maulidur Rasul yang saban tahun kita raikan, adakah ia mendatangkan kesan yang mendalam kepada peribadi dan cara hidup kita atau sebaliknya? Ketahuilah bahawa Nabi saw diutuskan bukan hanya untuk disambut kelahirannya tetapi untuk diikuti sunnah serta ajaran yang telah ditinggalkan!


Sirru a’la Barokatillah.

MUHAMMAD AMIRUL BIN AMRAN,
MAHASISWA PENDIDIKAN ISLAM,
UNIVERSITI PENDIDIKAN SULTAN IDRIS.

9 RABI'UL AWWAL 1433H/ 2 FEBRUARI 2012
SEDANG MENJALANI LATIHAN MENGAJAR DI NEGARA BRUNEI DARUSSALAM.
BELIAU BOLEH DIHUBUNGI DI ALAMAT FB Amirul Al-Chenori

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...